|
Oleh Fariza Saidin
Sejak bermulanya pengeluaran filem cereka di Malaysia (termasuk Singapura) pada tahun 1933, inilah pertama kali Malaysia menyertai negara-negara lain dalam usahanya mencapai tahap yang lebih tinggi iaitu ke upacara Anugerah Academy yang ke-77 yang dijadualkan berlangsung di Los Angeles pada 27 Februari 2005. Sungguhpun kedudukan Malaysia goncang dan agak sukar melepasi halangan, namun apa yang diperoleh Puteri Gunung Ledang itu sudah cukup membanggakan kerana untuk disenaraikan pun bukanlah suatu perkara mudah. 48 negara lain yang mencalonkan filem masing-masing bukanlah calang-calang filem dan bukan mudah pun untuk disingkirkan. Keadaan Puteri Gunung Ledang tinggal nyawa-nyawa ikan tetapi tidak mustahil pula akan bersaing di Hollywood nanti. Perlu diingat, Malaysia terpaksa berdepan dengan 88 negara yang diminta oleh pihak penganjur mengemukakan filem masing-masing dan setelah dinilai, Puteri Gunung Ledang antara yang tersenarai. Bukankah ini suatu yang membanggakan? Kemampuan menduduki calon yang lima, sebagaimana yang ditetapkan, banyak bergantung kepada kejayaan sesebuah filem itu ketika menyertai festival-festival filem antarabangsa terutama Cannes Film Festival. Kejayaan Dalam senarai 49 negara itu, lima filem telah menyertai Cannes Film Festival yang berlangsung bulan Mei lalu. Nobody Knows (Jepun) masuk ke kategori Feature Films In Competition (bertanding), manakala House of The Flying Daggers (China) disenaraikan dalam kategori Feature Films Out Of Competition (tidak bertanding). Di Cannes itu juga, Yagira Yuuya yang membintangi Nobody Knows memenangi anugerah Aktor Terbaik. Selain daripada itu, filem yang diarahkan oleh Hirokazukore-eda ini turut memenangi anugerah Filem Terbaik pada Flanders Film Festival yang ke-31 di Ghent, Belgium. Dalam sejarah Anugerah Academy, Jepun telah mencapai kejayaan dengan 11 pencalonan di mana tiga antaranya memenangi anugerah - Rashomon (1951), Gate of Hell (1954) dan Samurai, Legend of Musash (1955). China yang mencalonkan House of the Flying Daggers yang dibintangi Andy Lau, Zhang Ziyi dan Takeshi Kaneshiro telah memenangi anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Zhang Yimou), Pengarah Seni Terbaik dan Suara Terbaik di Golden Rooster Award yang berlangsung di Beijing. China (termasuk Hong Kong) belum pernah memenangi Anugerah Academy tetapi beberapa kali disenaraikan ke pencalonan bagi kategori Filem Berbahasa Asing Terbaik - Ju Dou (1990), Raise the Red Lantern (1991), Farewell My Concubine (1993) dan Hero (2002). Masuk pada kategori Un Certain Regard (tidak dipertimbangkan) ialah Kontroll (Hungary), Whisky (Uruguay) dan Earth and Ashes (Afghanistan). Dengan penyertaan di Cannes itu sudah cukup bagi Hungary mendabik dada, ini ditambah pula kejayaan Kontroll di Aubague Film Festival (Peranchis) memenangi anugerah Mozart Prize of 7th. Art dan Hungarian Film Week memenangi anugerah Senimatografi Terbaik, Anugerah Kritik, Filem Paling Popular dan anugerah istimewa Sandor Memorial Award. Perlu diingat, Hungray lapan kali berjaya ke pencalonan filem yang lima, dan hanya sekali beroleh kejayaan - Mephisto (1982). Filem Uruguay berjudul Whisky yang diarahkan bersama oleh Juan Pablo Rebella/Pablo Stoll mencapai dua kemenangan di Gramado Film Festival (Brazil) - Filem Terbaik dan Aktres Terbaik (Mirella Pascual) manakala di Lima Latin American Film Festival (Peru) sekali lagi Mirella Pascual mencapai kemenangan di samping memperoleh anugerah Lakon Layar Terbaik. Uruguay pernah sekali menerima pencalonan filem yang lima - Place in the World (1992) tetapi dibatalkan kerana melanggar peraturan dan syarat. Filem daripada negara yang hancur dilanda peperangan (Afghanistan) yang berjaya ke Cannes, Earth and Ashes (Atiq Rahimi) belum lagi menerima sebarang anugerah pada festival-festival filem antarabangsa sama seperti Puteri Gunung Ledang. Tetapi menurut pengkritik, Earth and Ashes merupakan salah satu daripada lima filem yang akan ke pencalonan Filem Berbahasa Asing Terbaik. Bayangkan! Betapa Puteri Gunung Ledang menghadapi jalan terlalu sukar untuk tersenarai antara lima Filem Berbahasa Asing Terbaik. Dalam pada itu, India turut terpilih memasuki senarai dengan filemnya Shwaas (Sandeep Sawant). Filem ini memenangi anugerah Filem Terbaik pada National Film Award dan anugerah Aktor Terbaik (Arin Nalawade) pada Screen Weekly Award. Tahun lalu (2003), Devdas (Sanjay Leela Bhansali) lakonan Shah Rukh Khan, Madhuri Dixit dan Aishwarya Rai telah tersenarai tetapi digagalkan oleh Barbarian Invansion (Kanada), Evil (Sweden), Twilight Samurai (Jepun), Twin Sisters (Netherlands) dan Zelary (Czechoslovakia). India belum pernah memenangi sebarang Oscar tetapi berjaya tiga kali ke pencalonan kategori Filem Berbahasa Asing Terbaik - Mother India (1957 dibintangi Sunil Dutt, Nargis dan Rajendra Kumar), Salaam Bombay! (1988) dan Lagaan (2003) yang dibintangi oleh Amir Khan. Taiwan pernah memenangi Oscar pada tahun 2000 dengan filemnya Crouching Tiger, Hidden Dragon (dibintangi Chow Yun-Fat, Michelle Yeoh dan Zhang Ziyi). Kali ini Taiwan sekali ini mencalonkan filemnya, 20: 30: 40: arahan dan lakonan Sylvia Chang. Filem ini telah dipertandingkan di Berlin Film Festival, tetapi gagal menenangi sebarang anugerah. Bagaimanapun, Taiwan telah dua kali menerima pencalonan lima Filem Berbahasa Asing Terbaik - Wedding Banquet (1993) dan Eat Drink Man Woman (1994). Pencalonan Menurut sejarah Anugerah Academy, pencalonan bagi kategori Filem Berbahasa Asing Terbaik ini bermula pada tahun 1948. Pada masa itu di masukkan ke kategori Anugerah Penghormatan (Honorary Awards) dengan Peranchis memenangi anugerahnya melalui Monsieur Vincent. Kemudian pada tahun 1956 kategori Filem Berbahasa Asing Terbaik diwujudkan dan filem Italy, La Strada yang dibintangi Anthony Quinn dan Giuliette Masina muncul sebagai pemenang lalu mengalahkan Captain of Kopenick (Germany), Gervaise (Peranchis), Harp of Burma (Jepun) dan Qivitoq (Denmark). Sepanjang 56 tahun kewujudannya, Peranchis menduduki tempat di atas sekali dengan 32 kali pencalonan bagi kategori lima Filem Berbahasa Asing Terbaik, kemudian diikuti Italy (26), Sepanyol (18) Sweden(13), Jepun (11), Russia (9), German (8), Hungary (8), Netherlands (7), Poland (7), Denmark (6), Israel (6), Mexico (6) dan Yugoslavia (6). Antara 32 pencalonan itu, Peranchis memenangi sembilan Oscar. Antara filem-filemnya: Monsieur Vincent, Black Orpheus (1959), Man and Woman (1966), Madame Rosa (1977) dan Indochine (1992). Kali ini Peranchis tersenarai dengan filem Chorus yang diarahkan oleh Christopher Barratier. Italy yang mencalonkan Keys to The House arahan Gianni Amelio setakat ini telah memenangi 10 oscar. Selain La Strada antaranya ialah Bicycle Thief (1949), Night of Cabaria (1957), 8 1/2 (1983), Yesterday, Today, Tomorrow (1964) dan Life is Beautiful (1998). Di Venice Film Festival, Keys to The House memenangi anugerah Sergio Trasatti Award dan Cinema Avvenire Award. Sepanyol yang turut tersenarai dengan filemnya Sea Inside (Alejandro Amenabar) telah berjaya dengan tiga Oscar - To Begin Again (1982), Belle Epoque (1993) dan All About My Mother (1999). Pada Venice Film Festival yang lalu (yang mana Puteri Gunung Ledang turut serta), Sea Inside memenangi anugerah Aktor Terbaik (Javier Bardem) dan Grand Special Award. Manakala bagi kategori Pasinetti Award pada festival filem yang sama, filem tersebut memenangi anugerah Filem Terbaik, dan Aktor Terbaik (Kim Rossi Stuart). Bagi Sweden pula filemnya As in Heaven (Kay Pallock) pernah tersenarai untuk 13 kategori pencalonan. Daripada 13 itu, tiga filemnya memenangi anugerah Oscar Virgin Spring yang diarahkan Ingmar Bergman (1960), Fanny & Alexander (1983) dan Under the Sun (1999). Disamping itu, Malaysia juga terpaksa menandingi kekuatan Greece, Switzerland dan Netherlands yang telah memenangi banyak anugerah. Greece dengan filemnya Touch of Spice (Tassos Boulmetis) telah berjaya di Thessaloniki Film Festival (Greece) dengan memenangi Filem Fiksyen Terbaik, Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyuntingan Terbaik, Bunyi Terbaik, Rekaan Set Terbaik dan Audience Award. Filem Switzerland Mein Name Ist Bach yang turut tersenarai telah memenangi anugerah di Swiss Film Prize - Filem Fiksyen Terbaik, Aktor Pembantu Terbaik ( Gilles Tschudi). Manakala filem Netherlands, Simon telah berjaya di Netherland Film Festival dengan membawa pulang anugerah Filem Terbaik, Aktor Terbaik (Cees Geel) dan Pengarah Terbaik (Eddy Terstall). Switzerland tigas kali memenangi Anugerah Academy - Dangerous Moves (1984) dan Journey of Hope (1990), manakala Netherlands juga tiga kali - Assault (1986), Antonia's Line (1995) dan Character (1997). Satu lagi cabaran Malaysia ialah Belgium dengan filemnya, Alzheimer Case yang mana di Joseph Platean Award (Ghent, Belgium) memenangi anugerah Filem Terbaik, Aktor Terbaik (Jan Decleir), Pengarah Terbaik (Erik Van Looy), dan Skrip Terbaik. Selain Malaysia, dua filem negara jiran (Filipina dan Thailand) turut tersenarai bersama negara yang bermusuh dan sedang berperang sekarang - Palestine dan Israel. Filipina dengan filemnya Crying Ladies (Mark Meily) pernah mengondol anugerah Filem Terbaik di Metro Manila Film Festival dan Thailand dengan filem Overture yang diarahkan oleh Itthisoontorn Vicchailak. Palestin pula diwakili filem Olive Harvest (Hanna Elias) dan Israel dengan Campfire (Joseph Cedar). Negara-negara lain yang pernah memenangi Anugerah Academy ini yang turut sekali lagi tersenarai ialah Argentina, Bosnia & Herzegovina, Canada, Czehoslovakia, Germany dan Denmark. Argentina yang mencalonkan Los Embrace (Daniel Burman), pernah sekali memenangi Anugerah Academy - Official Story (1985), Bosnia & Herzegovia dengan filemnya No Man's Land (2000) bersama Days and Hours (Pjer Zalica). Canada yang berjaya tahun lalu dengan filemnya Barbaraian Invasion kali ini mencalonkan Far Side of the Moon (Robert Lapage) dan Czechoslovakia yang tersenarai dengan Up and Down pernah memenangi tiga kali - Shop on Main Street (1965), Closely Watched Trains (1967) dan Kolya (1996). German pula yang pernah memenanginya melalui Tin Drum (1979) dan Nowhere in Africa (2002) tercalon dengan filemnya Downfall (Oliver Hirschbiegel) dan Denmark yang mencapai dua kali kemenangan - Babette's Feast (1987) dan Pelle the Conqueror (1988) - tersenarai dengan Five Obstructions (JergenLeth/Lars von Trier). Negara-negara lain yang turut tersenarai dan memberi cabaran kepada Malaysia ialah Austria, Brazil,Bulgaria, Chile, Croatia, Ecuador, Egypt, Estonia, Finland, Korea, Iceland, Iran, Macedonia, Mexico, Norway, Poland, Portugal, Romania, Serbia & Montenegro, Slovenia, Afrika Selatan dan Venezuela. Menurut pemerhati filem, tiga antara lima filem yang dijangka berkemungkinan besar dipilih ke pencalonan yang lima Filem Berbahasa Asing Terbaik ialah Nobody Knows (Jepun), House of The Flying Daggers (China) dan Earth and Ashes (Afghanistan). Dua filem lagi masih terbuka luas. Mana tahu satu antaranya untuk Puteri Gunung Ledang? Tidak mustahil sesuatu yang memeranjatkan akan berlaku? Walau apa pun, pengumuman pencalonan filem-filem (termasuk Filem Berbahasa Asing Terbaik) yang bakal menyertai penyampaian Anugerah Academy ke-77 nanti akan dilakukan di Academy's Samuel Goldwyn Theater, Los Angeles pada 25 Januari 2005. Oleh yang demikian sama-samalah kita tunggu keputusannya sama ada Puteri Gunung Ledang berjaya atau pun tidak dicalonkan ke kategori Filem Berbahasa Asing Terbaik.
Sumber :- Utusan Malaysia, 19 Jan 2005 |
| alghazel February 25, 2005 09:36 AM PST pehh!! it had been 37 days already.... prue, where are u? dah lupa ke u ada blog yg u kena update at least once a week!!?? p/s : maybe u r so busy with a new love ??? | ||
| alghazel February 4, 2005 03:23 PM PST ehmmm..prue sibuk sakan nih... tu yg tak sempat nak jenguk blog nih... dah 2 minggu ni! | ||
| alghazel January 29, 2005 08:09 AM PST Prue..where are u? lama sangat tak update blog nih .... | ||
| Es January 26, 2005 07:38 PM PST Assalamualaikum. Saya warga Singapura... namun saya amat berbangga kerana Malaysia mampu mendapat tempat top 10 dalam senarai itu. Tahniah dari kami di Singapura. | ||
| Leave a Comment: |