|
KISAH Tiara Jacquelina dan Puteri Gunung Ledang (PGL) belum berakhir lagi. Januari ini, PGL akan ke Palm Spring Film Festival di Los Angeles, diikuti dengan Festival Filem Antarabangsa Bangkok, Februari ini.
Tiara yang berada di Singapura ketika dihubungi berkata, penyertaan ke Palm Spring Film Festival hanya untuk tayangan khas manakala di Festival Filem Antarabangsa Bangkok, ia menjadi sebuah daripada filem yang akan dipertandingkan.“Promosi PGL masih diteruskan. Ketika ini saya berada di Singapura untuk bercakap dan memperkenalkan filem itu di Kota Singa. Pada 15 Disember lalu, satu tayangan perdana untuk tujuan amal bagi mengisi Tabung Amal Aidilfitri yang turut dihadiri Menteri Alam Sekitar dan Hal Ehwal Masyarakat Singapura, Dr Yaakob Ibrahim. “Pada 16 Disember pula, PGL mula ditayangkan kepada umum. Yang paling membanggakan PGL mencatat sejarah sebagai filem pertama yang ditayangkan di pawagam Cathay Cine Leisure, Orchard Road. “Sebelum ini, memang ada filem kita ditayangkan di Singapura tetapi di Bedok, Jurung, di kawasan perumahan Melayu. Ditayangkan di Orchard Road, satu sejarah bagi PGL kerana menjadi filem Melayu pertama ditayangkan di situ dalam tempoh 30 tahun,” katanya yang ditemani suaminya, Datuk Effendi Norwawi, Adlin Aman Ramli dan adik Naufal. Promosi selama dua hari itu membabitkan wawancara dengan beberapa rancangan TV dan radio serta media cetak Singapura. Berdasarkan hanya filem antarabangsa saja ditayangkan di tempat elit itu, PGL boleh berbangga kerana berada dalam kelas filem Melayu bertaraf antarabangsa. “Bukan senang untuk menembusi pasaran antarabangsa kerana setelah Singapura, kami merancang untuk membawa PGL ke Indonesia pula pada suku pertama tahun depan. Ketika ini, saya sendiri sedang belajar selok-belok berkaitan filem apalagi kalau orang belum pernah kenal dan kita sendiri belum ada track-record. “Berbeza dengan filem Hong Kong dan China kerana masyarakat antarabangsa sudah lebih dulu mengenali filem mereka. Sekurang-kurangnya apabila PGL ditayangkan di Venice, ada juga yang kenal bahawa Malaysia juga mampu mengeluarkan filemnya sendiri,” katanya, bersemangat. Bercerita mengenai projek terbarunya selepas PGL , Tiara berkata ketika ini dia sedang meneliti beberapa cadangan untuk filem akan datang. “Saya sudah menerima beberapa cadangan dan masih belum pasti lagi yang mana akan dipilih. Perkara ini akan diumumkan tahun depan tetapi bukanlah Mahsuri, sebagaimana yang disebut-sebut,” katanya. Tiara tidak mengetahui bagaimana timbulnya perkara ini. Begitu juga dengan desas-desus yang mengatakan Umie Aida bakal dipilih untuk membawakan watak itu. “Saya akui, Umie pelakon yang baik dan mampu menghayati wataknya. Tetapi kami belum tetapkan lagi filem yang akan diterbitkan dan jika terbit pun, ia bukan Mahsuri,” katanya, berahsia. Tiara tidak menolak, konsepnya hampir sama dengan PGL walaupun tidak mahu terikat dengan filem lagenda semata-mata. “Apa juga bentuk filem yang Enfiniti Productions Sdn Bhd (Enfiniti), ia haruslah sinonim dengan mutu. Kami tidak mengehadkan menerbitkan filem bajet besar saja kerana sebelum ini, Enfiniti juga pernah menerbitkan filem pendek, Odisi, dengan bajet RM60,000 untuk pasaran antarabangsa,” katanya. Sumber :- Berita Harian, 23 Dis 2004 |
| Leave a Comment: |